KAWAN mempunyai pengaruh cukup besar dalam pembentukan nilai dan perwatakan diri. Malah, kesannya boleh jadi berpanjangan, dari zaman remaja hingga ke alam dewasa.Sekiranya pengaruh itu berunsur positif, tiada siapa menentang, tetapi bagaimana dengan pengaruh negatif? Tiada sesiapa menidakkan kesan dan pengaruh kawan sepergaulan serta sahabat seperjalanan.
Akhir-akhir ini, pengaruh dan kesan buruk cukup menonjol, misalnya merokok, melepak dan merempit. Di sekolah, bahkan di mana-mana institusi, perbuatan seperti itu tidak diajar, tetapi bagaimana seseorang boleh tahu merokok dan mahir merempit? Bukankah ia lahir daripada kawan? Berkawan tidaklah salah, malah dalam Islam amat digalakkan kerana menghubungkan ikatan persaudaraan. Tetapi apakah jenis kawan yang harus didekati? Kawan yang dianjurkan ialah kawan yang baik serta ikhlas kerana Allah. Sikap Islam terhadap faktor dan peranan ini dapat dilihat dengan jelas daripada beberapa al-Quran serta hadis.Terdapat ayat yang mengisyaratkan mengenai peranan dan pengaruh kawan, antaranya firman yang bermaksud: "Wahai orang yang beriman! Bertakwalah dan hendaklah kamu bersama-sama orang yang bersifat benar." (Surah at-Taubah: 119)Orang yang bersifat benar ialah orang yang baik, berbudi bahasa, berakhlak dan mengamalkan budaya hidup terpuji, bukan orang jahat serta suka berdusta. Ayat lain menceritakan, kawan yang bertakwa sebenarnya kekal dan bermanfaat, sementara kawan tidak bertakwa akan bermusuhan sesama sendiri. Ini memang benar kerana kawan yang bertakwa mengenal Tuhan dan menjadikan Tuhan sebagai rujukan dalam semua perkara, manakala kawan tidak bertakwa lupa Tuhan serta demi kepentingan masing-masing bercakaran, walaupun sesama sendiri. "Teman-teman pada masa itu setengah dengan setengah yang lain adalah musuh melainkan yang bertakwa." (Surah al-Zukhruf: 67)Dalam satu ayat lagi, Allah menceritakan mengenai penyesalan orang yang bertemankan si jahat. "Aduhai, kiranya aku tidak menjadikan si pulan itu sebagai teman, sesungguhnya dia telah menyesatkan aku dari al-Quran, selepas aku didatangi olehnya. Dan sesungguhnya syaitan mendustai manusia." (Surah al-Furqan: 28)Kita sama-sama memohon perlindungan dan berharap supaya tidak termasuk golongan yang rugi bertemankan yang jahat sehingga mengakibatkan diri tersesat daripada landasan kebenaran.
Hadis al-Bukhari dari Abu Musa al-Asy'ari, bermaksud: "Diumpamakan rakan yang soleh dan rakan yang jahat ialah seperti (berkawan) dengan penjual minyak wangi dan tukang besi. Penjual minyak wangi tidak akan mensia-siakan anda, sama ada anda membelinya atau hanya mendapat bau harumannya. Tukang besi pula boleh menyebabkan rumah anda atau baju anda terbakar, atau mendapat bau busuk."
Memang benar perumpamaan diceritakan itu. Apabila berkawan dengan orang baik, kita juga akan menjadi baik, tetapi jika berkawan dengan yang jahat, kita juga mungkin lambat laun serupa saja.Walaupun kita tidak mengikut gelagat jahatnya, kadangkala tempiasnya terkena pada kita. Bukan sedikit orang yang berkawan dengan pencuri, juga dituduh mencuri, sedangkan dia tidak melakukannya.Dalam sesetengah keadaan juga, kawan selalu diberikan keutamaan dan kepercayaan yang lebih berbanding ahli keluarga. Malah, ada juga kawan yang dibela, manakala keluarga dicerca, sebagaimana penagih yang mahu menghilangkan ketagihannya. Kajian psikologi remaja amat jelas menunjukkan kebenaran ini.
Apa pun, tujuan berkawan sebenarnya untuk mendapatkan manfaat seperti bantuan dan perkongsian pengetahuan, bukan mencari keburukan. Perompak dan pencuri juga mencari kawan yang dapat memberikan faedah kepada dirinya.
0 comments:
Post a Comment